Artikel

Usul Agensi Cukai Tunggal LHDN-Kastam – Perlu Penstrukturan Teliti, Elak Birokrasi

Cadangan menubuhkan Agensi Percukaian Tunggal (STA) melalui penggabungan fungsi percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dilihat berpotensi memantapkan pentadbiran hasil Malaysia. Langkah ini selari dengan amalan di beberapa negara luar seperti Australia, Kanada, dan Afrika Selatan yang menyatukan pengurusan cukai langsung dan cukai tidak langsung di bawah satu bumbung.

Kelebihan utama penggabungan ini terletak pada pertukaran dan perkongsian data secara menyeluruh. Yang mana gabungan pangkalan data membolehkan kerajaan mengesan ketidakselarasan maklumat, seperti syarikat yang melaporkan jualan SST tinggi kepada Kastam tetapi membentangkan pendapatan bersih rendah kepada LHDN. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kebocoran hasil serta membendung aktiviti ekonomi bayangan.

Bagi pihak pembayar cukai, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penubuhan STA dapat mengurangkan kos dan mempermudah urusan pematuhan cukai. Semua proses audit, pemeriksaan, dan pendaftaran boleh dilakukan menerusi satu saluran portal digital, selain mengoptimalkan penggunaan sistem e-Invois untuk analisis data yang lebih cekap.

Bagaimanapun jelas laporan bersama Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Taqiyuddin Amini Abdul Satar, pelaksanaannya memerlukan penstrukturan semula yang besar bersandarkan perbezaan struktur LHDN sebagai badan berkanun dan Kastam sebagai jabatan kerajaan. Kerajaan perlu menangani cabaran penyatuan sistem digital antara MyTax (LHDN) dan MySST (Kastam), bagi mengelakkan risiko monopoli birokrasi serta memastikan fungsi teras Kastam dalam kawalan keselamatan sempadan dan pembanterasan penyeludupan tidak terjejas.