Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini sedang melaksanakan proses peralihan daripada MyKad struktur sedia ada kepada MyKad Generasi Baharu yang lebih canggih dan moden. Berikutan proses ini, urusan cetakan MyKad di seluruh Malaysia dijangka mengalami gangguan sementara bermula dari 26 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2026.
Langkah peralihan ini diambil bagi memastikan sistem pendaftaran dan keselamatan identiti rakyat Malaysia terus ditingkatkan selari dengan perkembangan teknologi terkini.
Sehubungan dengan itu, JPN pada notis menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk membuat penukaran atau gantian MyKad agar menangguhkan sementara urusan tersebut sepanjang tempoh berkenaan. Hal ini adalah bagi mengelakkan kesesakan serta kesulitan di kaunter-kaunter JPN sewaktu proses penaiktarafan sistem ini sedang berjalan di peringkat nasional.
Bagi urusan permohonan MyKad kali pertama bagi kanak-kanak yang mencapai usia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk menunggu seketika. Langkah ini disyorkan bagi membolehkan anak-anak mereka menerima MyKad Generasi Baharu apabila pengeluarannya dimulakan secara rasmi dalam masa terdekat. Pihak JPN turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia sepanjang tempoh peralihan ini.