Setelah 6 dekad menghasilkan ramai golongan profesional dalam sektor kesihatan – Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dimaklumkan telah mula menggerakkan pasukan khas bagi penubuhan Hospital MARA pertama di Malaysia.
MARA dilihat memiliki ekosistem yang lengkap untuk membangunkan hospital berikutan memiliki keupayaan dalam peranan sektor kesihatan. Seperti yang umum ketahui MARA kini memiliki rangkaian 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi, UniDental selain Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang bertindak menghasilkan graduan doktor, fisioterapi, farmasi tatkala Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) melibatkan penghasilan graduan jururawat.
Inisiatif penubuhan hospital ini menurut Pengerusi MARA Dr, Asyraf Wajdi pada perkongsian di Threads – bukan sahaja bakal melengkapkan rantaian nilai ekosistem perubatan MARA daripada peringkat pendidikan hingga ke perkhidmatan klinikal, malah membuka ruang latihan amali yang lebih komprehensif bagi para pelajar perubatannya.
Pada masa yang sama, kehadiran Hospital MARA dijangka dapat meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti serta menawarkan kadar berpatutan buat masyarakat, sekali gus memperkasakan lagi sosioekonomi bumiputera dalam sektor penjagaan kesihatan negara.