Kerajaan Singapura mengumumkan penambahan Cuti Penjagaan Anak (Childcare Leave) sehingga 12 hari setahun mengikut bilangan anak, di mana kesemua kos bayaran cuti tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemerintah bagi mengurangkan beban kewangan majikan.
Berdasarkan makluman Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong – ibu bapa yang memiliki seorang anak akan mendapat 8 hari cuti, diikuti 2 orang anak (10 hari cuti) dan tiga orang atau lebih anak (12 hari cuti). Dengan perubahan, pasangan suami isteri Singapura yang bekerja dan miliki 3 orang anak yang berusia sehingga 12 tahun akan menikmati jumlah keseluruhan Cuti Penjagaan anak sebanyak 24 hari.
Dan menariknya, pertambahan jumlah cuti ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Singapura bukan kumpulan majikan. Inisiatif yang dijangka berkuat kuasa pada April 2027 ini – sekali gus membantu majikan untuk terus menyokong ibu bapa yang bekerja dalam pasaran semasa tanpa membebankan komitmen tugasan sekiranya berdepan isu kecemasan keluarga.
Buat pengetahuan umum, skim ini mempunyai had siling bayaran balik sehingga $500 SGD sehari termasuk caruman CPF bagi setiap pekerja. Ini bermakna, bagi pekerja berpendapatan tinggi, pihak kerajaan akan menanggung kos majikan sehingga $500 sehari, manakala baki selebihnya kekal dibayar oleh majikan. Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelaburan strategik kerajaan Singapura – yang dibiayai menerusi hasil pulangan pelaburan dana kebangsaan (NIRC) dan Bajet Pakej Perkahwinan dan Keibubapaan (M&P Package)—bagi menggalakkan kadar kelahiran negara tanpa memberi beban kewangan melampau kepada majikan mahupun kewangan awam.
Selain sokongan kos cuti penjagaan – Singapura turut akan menanggung kos skim cuti berkaitan anak di bawah perundangan negara mereka. Ia meliputi kos cuti bersalin, cuti bapa, cuti yang dikongsi ibu bapa, dan cuti pengambilan anak angkat.