Artikel

IKEA Kuching Dibuka – Disember 2026 Ini

IKEA Malaysia hari ini mengumumkan IKEA Kuching akan mula beroperasi pada Disember 2026, menandakan satu lagi langkah penting bagi pengembangan IKEA di Malaysia Timur, serta membawa pengalaman IKEA lebih dekat kepada rakyat Sarawak.

Berdasarkan pengumuman IKEA bersama Rnggt hari ini, IKEA Kuching akan menjadi gedung berformat kecil pertama IKEA Malaysia serta gedung pertamanya di Sarawak. Berbeza daripada 4 gedung IKEA berskala besar yang kini beroperasi di Malaysia, IKEA Kuching memperkenalkan gedung berformat kecil, yang direka untuk menghimpunkan pengalaman IKEA dalam suasana yang lebih kompak dan mudah diterokai.

Format ini direka bagi memudahkan pelanggan mencari inspirasi dan penyelesaian yang sesuai, sama ada untuk membuat penambahbaikan kecil di rumah, merancang sesuatu ruang atau melengkapkan keseluruhan kediaman.

Dengan pembukaan gedung baharu ini ia sekali gus memperkukuh kehadiran IKEA di rantau ini, yang sebelum ini disokong melalui e-dagang dan perkhidmatan pemenuhan pesanan. Pelanggan kini berpeluang mendapatkan inspirasi kelengkapan rumah, meneroka pelbagai produk serta menikmati kepakaran IKEA secara lebih dekat.

Secara menyeluruh IKEA Kuching dijangka dibuka kepada orang ramai pada Disember 2026, dengan maklumat lanjut mengenai kedai, tarikh pembukaan rasmi dan pelbagai aktiviti menarik yang menanti pelanggan akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.