Bermula 1 September 2026 ini, TikTok Shop Malaysia akan menukar entiti logistik rasminya kepada TikTok Shop (Malaysia) Sdn. Bhd. Perubahan tempatan ini bermakna perkhidmatan logistik dan penghantaran TikTok Shop kini tertakluk kepada undang-undang cukai Malaysia, di mana Cukai Perkhidmatan (SST) sebanyak 6% akan dikenakan ke atas Yuran Penghantaran Sebenar bagi setiap pesanan. SST ini turut terpakai untuk caj pesanan yang tidak berjaya seperti kos penghantaran semula atau pemulangan barang.
Namun bagi meringankan beban peniaga, TikTok Shop pada notis rasminya memaklumkan akan menyediakan tempoh penampungan khas selama seminggu dari 1 hingga 6 September 2026.
Sepanjang tempoh peralihan ini, pihak TikTok Shop akan menanggung sepenuhnya kos SST 6% caj penghantaran tersebut bagi pihak peniaga. Namun, bermula 7 September 2026, caj SST 6% ini akan mula dipotong secara rasmi daripada akaun peniaga dan jumlah caj penghantaran yang dipaparkan dalam penyata penyelesaian akan merangkumi nilai SST berkenaan.
Impak utama perubahan ini adalah peningkatan margin kos penghantaran sebanyak 6% yang perlu ditanggung oleh peniaga. Sebagai contoh, jika yuran penghantaran asal ialah RM3.00, nilai baharu selepas SST ialah RM3.18. Walaupun pelanggan menerima diskaun penghantaran penuh daripada platform, peniaga tetap perlu membayar baki SST RM0.18 tersebut. Oleh itu, peniaga dinasihatkan untuk menyemak semula struktur harga produk dan strategi margin keuntungan sebelum 7 September 2026.