Artikel

Maybank Amex Gold Kini Berwarna Rose Gold — Nikmati 10% Pulangan Tunai Dan Mata Ganjaran 3X

Maybank hari ini secara rasminya melancarkan reka bentuk dan manfaat baharu bagi Kad Maybank American Express Gold yang kini tampil lebih anggun bersama warna baharu iaitu Rose Gold yang eksklusif.

Langkah penyegaran ini bukan sahaja memberikan sentuhan moden dan kontemporari kepada kad ikonik berkenaan, malah mempertingkatkan lagi nilai keistimewaan serta pengalaman gaya hidup premium buat para pemegang kad di seluruh negara.

Dengan pelancaran ini pemegang kad dapat menikmati pelbagai penambahbaikan struktur ganjaran yang diperkemas – antara kelebihan utama yang diperkenalkan termasuklah pulangan tunai sebanyak 10% bagi perbelanjaan gaya hidup terpilih seperti perkhidmatan penstriman popular, perkhidmatan Grab, serta pembelian tiket wayang di pawagam TGV dan GSC. Di samping itu, pemegang kad juga bakal menikmati gandaan mata ganjaran Membership Rewards sehingga 3X bagi setiap perbelanjaan luar negara dan 2X bagi perbelanjaan tempatan.

Bagi menambah tarikan penjenamaan semula ini, Maybank turut menawarkan pelbagai keistimewaan eksklusif lain seperti diskaun menjamu selera sehingga 40% di rangkaian hotel dan resort terkemuka tanah air, perlindungan insurans kemalangan peribadi perjalanan percuma sehingga RM250,000, serta mata ganjaran tanpa tarikh luput. Untuk ketahui maklumat lanjut, semua pihak boleh layari laman rasmi Maybank Amex Gold.