Amerika Syarikat (AS) terus tampil dengan tindakan agresif apabila terbaharu menyenaraikan lebih 40 negara yang didakwa membantu China untuk elak tarif tinggi AS – menerusi pengalihan barangan import melalui negara yang berdepan cukai import lebih rendah.
Rumah Putih pada perkongsian laporan The Great Transshipment Scam yang setebal 24 halaman ini mendedahkan China menggunakan teknik pemindahan barangan import secara sistematik bagi menghindari tekanan kos tarif yang dilaksanakan AS. Ini termasuklah dakwaan menukar label negara asal biarpun kandungan dan komponen produk berasal dari China.
Laporan tersebut juga menganggarkan kesan ekonomi yang lebih luas berlaku disebabkan kaedah tersebut dengan menganggarkan kira-kira 450,000 pekerjaan telah terjejas, kemerosotan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan antara $113 bilion hingga $150 bilion dan kerugian hasil persekutuan berkaitan sebanyak $19 bilion hingga $26 bilion.
Angka-angka ini merupakan anggaran berasaskan model dan bukannya bilangan pekerjaan yang diperhatikan secara langsung. Kenyataan ini memberi cerminan AS berdepan kerugian yang lebih besar disebabkan tindakan China bersama rakan dagang yang lain.
Dan daripada laporan itu Malaysia menjadi antara negara yang dipetik turut serta membantu China menghindari tarif AS. Dan selain Malaysia terdapat beberapa negara serantau lain turut disebut adalah, Indonesia, Thailand, Vetnam, Kemboja, India, Jepun dan beberapa lagi.