Artikel

Xu Jiayin, Pengasas Evergrande – Bekas Bilionair China Kini Dipenjara Seumur Hidup

Suatu ketika dahulu, beliau dijulang sebagai individu terkaya di China. Namun kini, pengasas empayar hartanah global Evergrande, Xu Jiayin atau Hui Ka Yan, berdepan kenyataan pahit apabila dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas pelbagai kesalahan jenayah kewangan.

Xu yang berusia 67 tahun, didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan berat merangkumi pecah amanah, rasuah, penipuan, serta kegagalan empayarnya melunaskan timbunan hutang syarikat yang sangat besar.

Buat pengetahuan umum Xu mula menceburi bidang hartanah dan mengasaskan Evergrande pada tahun 1996. Mengambil kesempatan atas lonjakan permintaan terhadap kediaman pangsapuri di China, Evergrande berkembang pesat dalam mengumpul aset bernilai tinggi. Kemuncak kejayaan beliau terbukti apabila Evergrande berjaya disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada tahun 2009. Menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang meraih $729 juta, Xu secara rasminya dinobatkan sebagai lelaki terkaya di China.

Namun kesan perbelanjaan agresif dan pelaburan yang tidak berstrategi dilihat mula memakan diri. Keadaan menjadi semakin parah apabila Beijing mula memperkenalkan polisi kewangan baharu pada tahun 2020 yang mengehadkan pinjaman berlebihan dalam sektor hartanah.

Perubahan polisi ini menjejaskan keupayaan Evergrande secara mendadak untuk melunaskan komitmen hutang mereka. Evergrande terpaksa menjual hartanah pada kadar diskaun yang sangat tinggi demi mendapatkan modal pantas. Langkah ini mencetuskan panik dan tekanan hebat dalam kalangan pelabur serta pembeli rumah. Dan krisis semakin meruncing sehingga Xu terpaksa menyuntik kekayaan peribadinya sendiri bagi mengurangkan bebanan hutang syarikat.

Impaknya krisis ini menyaksikan nilai kekayaan peribadi Xu merosot mendadak daripada anggaran $42 bilion pada tahun 2017 kepada hanya $1.8 bilion bagi tahun 2023.

Sebagai penutup kepada skandal kewangan terbesar ini, mahkamah di Shenzhen kini telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Xu Jiayin, selain mengenakan denda melebihi $2 bilion ke atas Evergrande Group bersama syarikat-syarikat sekutunya.