Artikel

SPX Express Perkukuh Segmen Logistik – Tambah 10 EV Penghantaran Di Lembah Klang

SPX Express (SPX) hari ini memperkenalkan 10 kenderaan penghantaran elektrik (EV) baharu di Lembah Klang menerusi kerjasama dengan Dongfeng Commercial Vehicle (Malaysia) Sdn Bhd sebuah anak syarikat Sunway Group.

Pelancaran armada baharu yang disempurnakan oleh YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi ini merupakan tindak balas Shopee untuk perkukuhkan keupayaan operasi SPX dalam memenuhi keperluan perniagaan serta pelanggan di Malaysia, di samping menilai prestasi kenderaan elektrik dalam operasi penghantaran harian untuk menyokong perancangan jangka panjangnya.

Buat pengetahuan umum, setiap kenderaan elektrik ini dirancang khas untuk penghantaran kawasan bandar dengan keupayaan jarak perjalanan sehingga 200km bagi satu pengecasan, kapasiti muatan sehingga 1,015kg, dan ruang kargo 4.8m³.

Adanya inisiatif ini ia berupaya melengkapkan pelaburan logistik SPX yang lebih luas, termasuk pelaburan RM63.2 juta pada tahun 2025 untuk teknologi penyisihan automatik termaju di Pusat Penyisihan Bukit Raja Selatan. Gabungan teknologi penyisihan automatik ini dan pengenalan EV membolehkan SPX meningkatkan kecekapan daripada peringkat penyisihan hingga ke penghantaran peringkat akhir.