TikTok Shop hari ini mengumumkan suntikan tambahan bernilai RM250 juta ke dalam ekonomi digital Malaysia melalui lanjutan Pakej Rangsangan #JomLokal Booster 2.0 bagi memacu arena perdagangan digital dalam kalangan produk tempatan.

Pelaburan berterusan ini menumpukan kepada tiga teras utama iaitu Latihan & Pemberdayaan Digital, Keterlihatan Platform bagi memperluas liputan carian produk tempatan, serta Pepadanan Bisnes untuk menghubungkan peniaga terus dengan rakan affiliate. Di samping itu, pelancaran ‘JomLokal Club’ turut diperkenalkan sebagai komuniti khas bagi membolehkan penjual dan pencipta kandungan tempatan belajar, bekerjasama, dan berkembang selari dengan pertumbuhan perniagaan yang dicapai sebelum ini dengan mencatatkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 140%.
Berdasarkan perkongsian pada acara TikTok Summit 2026 hari ini ekosistem TikTok Shop berjaya menyumbang RM20 bilion dalam Nilai Tambah Kasar (GVA), sekali gus merangkumi 4% daripada keseluruhan perdagangan digital Malaysia.
Selain menjana 147,000 peluang pekerjaan di seluruh negara, platform ini kini menjadi rumah kepada 1.8 juta perniagaan tempatan yang aktif. Melalui kerjasama erat dengan rakan strategik kerajaan, lebih 100,000 Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) telah berjaya dilatih dan dilengkapi dengan kemahiran keusahawanan digital.
Pada masa sama, segmen pencipta kandungan turut mencatatkan lonjakan pesat apabila kini memperkasakan lebih 3.6 juta pencipta affiliate di seluruh negara. Sokongan padu ini membolehkan perniagaan berteraskan warisan tempatan melebarkan saiz pasaran mereka ke skala digital, seterusnya memacu pertumbuhan Nilai Kasar Barangan (GMV) melebihi 125% YoY. Inisiatif ini menegaskan komitmen berterusan TikTok Shop dalam membina ekosistem perdagangan digital yang mampan serta inklusif bagi usahawan Malaysia.