TikTok kini dilihat sedang meluaskan liputan perkhidmatan digitalnya menerusi pembangunan ciri baharu yang membolehkan pengguna untuk memindahkan wang secara terus antara satu sama lain melalui Direct Message (DM).
Ciri tersebut mengikut laporan Bloomberg dijelaskan akan melibatkan integrasi menerusi TikTok Pay, iaitu perkhidmatan pembayaran digital proprietari yang sebelum ini telah pun mula diperkenalkan dan diguna pakai secara berperingkat di beberapa pasaran Asia Tenggara.
Dengan menyepadukan dompet digital terus ke dalam ruangan sembang, platform kendalian ByteDance ini bukan sahaja memudahkan transaksi P2P, malah berpotensi meningkatkan kecekapan proses e-dagang seperti pembayaran bagi pembelian produk di TikTok Shop atau pemberian hadiah digital kepada pencipta kandungan secara terus.
Biarpun TikTok setakat ini tidak memaklumkan pasaran negara mana yang akan menerima fungsi ini, potensi pengenalan ciri tersebut di Malaysia adalah sangat tinggi. Ini memandangkan ekosistem TikTok Shop dan budaya pembayaran nirtunai menggunakan TikTok Pay telahpun sedia meluas di Malaysia.