Hasil permintaan yang terus kukuh, disokong pelaburan pembangunan produk yang konsisten – Dutch Lady Malaysia kini memperlihatkan lonjakan 40.7% pada untung bersih kumpulan bagi separuh pertama 2026 iaitu RM68.1 juta. Peningkatan ini dicapai berikutan prestasi positif yang diraih pada suku kedua dengan kenaikan untung bersih 63.2% kepada RM38.2 juta.
Pertumbuhan ini menurut notis Dutch Lady didorong oleh rangkaian utama susu cecair Dutch Lady susulan pelancaran semulanya dengan identiti pembungkusan baharu yang segar serta pertumbuhan berterusan dalam saluran luar rumah . Pengenalan produk baharu turut menyumbang secara positif, terutamanya Dutch Lady Omega 3*6 dan rangkaian Dutch Lady Tealive yang dilancarkan baru-baru ini, sekali gus membantu meluaskan daya tarikan syarikat kepada pengguna dan menyokong prestasi jualan keseluruhan.
Sementara perolehan keuntungan yang lebih tinggi diraih disebabkan hasil prestasi pergerakan kadar pertukaran mata wang asing yang lebih baik, kos barangan dijual yang lebih rendah, serta ketiadaan kos satu kali berkaitan transisi yang dialami pada tempoh sama tahun lalu.
Biarpun perolehan kumpulan merosot sebanyak 2.8% berbanding suku sebelumnya susulan permintaan tinggi bersempena musim perayaan serta sokongan daripada program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada S1 2026 – keuntungan operasi kekal meningkat sekitar 23.4% kepada RM52.1 juta. Peningkatan keuntungan ini mencerminkan pelaksanaan yang berkesan, kepelbagaian produk yang menguntungkan, serta kecekapan kos yang lebih tinggi dicapai pada seluruh perniagaan jenama.