Setelah lebih 5 tahun memegang saham dalam rangkaian pasar raya di pasaran Malaysia, syarikat pengurusan aset United Kingdom, ICG kini dilaporkan berhasrat untuk menjual 81.52% pegangan majoritinya pada syarikat induk TF Value-Mart.
Menurut laporan The Edge, ICG kini mula meninjau pasaran dan menyasarkan nilai jualan sekitar RM1.3 bilion. Transaksi ini berlaku selepas ICG menyokong pengambilalihan perniagaan itu pada Disember 2020 daripada firma ekuiti swasta KV Asia Capital pada anggaran nilai RM850 juta.
Biarpun terdapat pertimbangan jualan pegangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif TF Value-Mart menjelaskan pihak pengurusan tertinggi iaitu pengurusan kanan syarikat induk TF Value-Mart yang memiliki kepentingan sekitar 11.32% dalam pasar raya tersebut tidak berhasrat untuk menjual pegangan mereka.
Sebelum ini rangkaian TF Value-Mart telah mencatatkan pertumbuhan untung bersih yang positif selama 8 tahun berturutan sebelum berdepan tekanan kos kesan konflik di Timur Tengah yang menyebabkan prestasi untung bersih mulai merosot pada 2024. Secara menyeluruh TF Value-Mart kini memiliki 51 cawangan di seluruh negara dan mempunyai perancangan untuk membuka dua cawangan baharu di Selangor dan Kedah.