Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hari ini mengumumkan pelantikan Afiza Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi tempoh 3 tahun, berkuat kuasa pada 28 Ogos 2026.
Pelantikan ini untuk makluman adalah bagi menggantikan peranan CEO yang sebelum ini diterajui Rafiz Azuan Abdullah selama 9 tahun. Malah dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor perbankan dan insurans merangkumi bidang kawal selia kewangan, pembangunan dasar, pengurusan krisis serta resolusi institusi kewangan. Afiza dilihat memiliki kelebihan dalam membentuk hala tuju baharu PIDM pada masa hadapan kumpulan untuk tempoh 3 tahun mendatang.
Buat pengetahuan umum, Afiza memainkan peranan penting dalam pembentukan fungsi resolusi PIDM untuk institusi ahlinya, termasuk mengoperasikan rangka kerja Perancangan Pemulihan dan Resolusi bersama Bank Negara Malaysia serta memperkukuh koordinasi antara peserta jaring keselamatan kewangan Malaysia melalui pelaksanaan latihan simulasi krisis.
Sejak menyertai PIDM pada tahun 2011, Afiza telah menerajui pelbagai inisiatif strategik antaranya peranan selaku Pengurus Besar Polisi dan Antarabangsa (2016), Naib Presiden Eksekutif (2022) dan pernah berkhidmat hampir 10 tahun di BNM dalam pembangunan dasar di bawah pemodenan Akta Bank Negara Malaysia 2009 serta penggubalan Pelan Sektor Kewangan.
Di peringkat antarabangsa, beliau turut memainkan peranan aktif dalam memajukan amalan insurans deposit, skim jaminan insurans dan resolusi institusi kewangan menerusi International Association of Deposit Insurers (IADI) dan International Forum of Insurance Guarantee Schemes (IFIGS).