Artikel

AS Kenakan Tarif Dron Sehingga 100%, Demi Keselamatan Negara – Mulai September Ini

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilihat terus agresif dalam mempelbagaikan tarif perdagangan mereka. Terbaharu, AS kini mengumumkan pengenaan tarif baharu sehingga 100% ke atas import dron dan komponennya. Langkah ini diambil sebagai tindakan strategik untuk mengurangkan kebergantungan AS terhadap import teknologi dari luar, terutamanya dalam industri dron komersial yang kini didominasi oleh China.

Keputusan tersebut dijelaskan wajar atas dasar keselamatan negara. Sebagai perincian tarif 100% akan dikenakan ke atas dron yang bersaiz besar, model yang dilengkapi keupayaan pengimejan terma dan stesen pangkalan yang dianggap sensitif.

Selain itu, dron bersaiz lebih kecil yang turut menimbulkan kebimbangan keselamatan akan dikenakan tarif sebanyak 25%. Manakala bagi mengimbangi hubungan perdagangan, import dari rakan sekutu seperti Korea Selatan, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), Liechtenstein, Switzerland, dan Taiwan dikenakan levi yang lebih rendah iaitu 15%, manakala import dari Britain pula tertakluk kepada duti 10%.

Secara menyeluruh, laporan Yonhap ini menjelaskan pelaksanaan tarif baharu ke atas dron berisiko tinggi ini dijadualkan bermula secara rasmi pada 3 September 2026. Sementara itu, penguatkuasaan tarif bagi komponen dron yang dikategorikan sebagai kurang sensitif pula akan mula dilaksanakan secara berperingkat menjelang 9 Februari 2027.