Dengan mengambilkira perubahan demografi bersama jangka hayat penduduk Selangor yang direkodkan sekitar 78 tahun – menjadi usia tertinggi berbanding negeri lain, Selangor kini sedang merangka pelaksanaan Tenaga Kerja Perak (Silver Workforce) bagi membuka ruang dan peluang kepada warga emas yang masih sihat, berkemahiran untuk terus bekerja.

Maka untuk merealisasikan agenda ini, Exco Kebajikan Negeri menjelaskan pembentukan ekosistem yang kukuh wajar diutamakan merangkumi perundangan, garis panduan, perlindungan insurans serta skim latihan untuk memudahkan kumpulan pekerja warga emas di pasaran kelak.
Adanya persekitaran yang sesuai dan sistem sokongan yang cekap, perihal itu tidak sekadar membantu pertumbuhan ekonomi Selangor bahkan menjamin tenaga kerja yang produktif kalangan warga emas. Dengan tumpuan tersebut, kerajaan negeri kini masih diperingkat awal untuk merangka ekosistem bagi menyokong Tenaga Kerja Perak di samping terus mengukuhkan segmen kebajikan warga emas Selangor.