Separuh pertama 2026 memperlihatkan aktiviti pengambilan pekerja di Malaysia terus positif apabila jumlah iklan jawatan kosong platform Jobstreet memaparkan peningkatan sebanyak 33% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Lonjakan ini mencerminkan keyakinan sektor swasta untuk terus mengembangkan operasi dan menambah bilangan tenaga kerja di pelbagai peringkat.
Berdasarkan perincian data Jobstreet bersama Rnggt, perluasan peluang pekerjaan ini tertumpu pada sektor pembuatan, pengangkutan dan logistik dengan penguasaan 12% pada paparan iklan. Diikuti sektor kritikal lain seperti bidang perakauanan (11%), jualan (10%), kejuruteraan (9%) dan pentadbiran (8%). Kepelbagaian permintaan ini memperlihatkan pasaran kerja semasa membuka peluang secara meluas tidak hanya tertumpu kepada satu-satu industri sahaja.
Namun di sebalik jumlah peluang pekerjaan yang lebih tinggi dipaparkan, perlu diakui pasaran kerja tempatan masih berdepan cabaran utama dalam aspek guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang mencatatkan kadar 35.2%. Jurang ini wujud kerana kriteria kemahiran yang dimiliki pemohon pekerjaan tidak sentiasa sepadan dengan kehendak khusus bagi sektor yang sedang berkembang pesat.
Persekitaran ini menjelaskan pasaran Malaysia tidak sekadar berdepan kekurangan tenaga kerja tetapi memerlukan penyesuaian khusus untuk terus relevan pada pasaran pekerjaan hadapan.