Seperti yang umum ketahui, hasil pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) – Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat telah berdepan kerugian hampir RM13 bilion kesan 14 pelaburan bermasalah. Dan 7 daripada 14 pelaburan itu direkodkan rugi 100%.
Makluman yang dikongsikan Kementerian Kewangan (MOF) ketika sidang khas pada minggu ini, jelas menunjukkan penambahbaikan tatakelola pelaburan perlu dipertingkatkan dalam TH.
Berdasarkan perincian, kerugian pelaburan terbesar adalah melibatkan Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd di Arab Saudi yang mencatatkan kemerosotan nilai sepenuhnya bersama jumlah RM1.86 bilion.
Ini gambaran jelas untuk 7 pelaburan TH yang alami kerugian 100%:
- Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd – RM1.86 bilion
- Trurich Resources – RM364.31 juta
- Putrajaya Perdana – RM193.5 juta
- Alfareeda Residential Fund – RM63 juta
- TH Marine – Pelaburan Ekuiti RM198 juta + Kemudahan Pembiayaan RM80 juta
- Emrail Sdn Bhd – RM19.3 juta
- Wellspring Worldwide Ltd – RM19.03 juta
Melihat pada data itu, ini adalah senarai pelaburan yang direkodkan – MOF dapati pelaburan bermasalah lain melibatkan projek pembinaan 3 Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi TH Heavy Engineering (THHE) iaitu syarikat bersekutu TH turut disebut dalam RCI didapati rosot nilainya tidak direkodkan.
Dengan ketidakteraturan secara jelas, kegagalan pengurusan pelaburan tersebut memberi kesan kepada dana pendeposit TH secara tidak langsung. Setakat ini sejumlah RM10.2 bilion telah ditanggung oleh kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 dan rosot nilai RM2.6 bilion pula ditanggung TH untuk tempoh 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.