Artikel

Pasport Malaysia: Tempoh Sah Laku Maksima Diseragamkan 10 Tahun, Elak Kekeliruan

Berkuat kuasa serta-merta, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kini mengumumkan tempoh sah laku maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) diseragamkan selama 10 tahun.

Perihal ini bagi menangani isu yang didepani sebilangan pemegang PMA dengan tempoh lebih 10 tahun, alami kesukaran melalui proses pengesahan dan daftar masuk bersama beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

Isu ini dikesan berpunca daripada ralat integrasi pada sistem pendaftaran penerbangan dan pangkalan data sempadan luar negara, akibat penetapan had maksimum 10 tahun pada sistem DHA. Masalah timbul apabila pembaharuan pasport 10 tahun yang disertai pertambahan baki tempoh sah laku (sehingga 6 bulan) menyebabkan keseluruhan tempoh sah pasport melebihi had 10 tahun tersebut. Kegagalan sistem membaca tempoh sah yang melebihi format asal ini menyebabkan pengguna berdepan kesukaran untuk membeli tiket atau mendaftar masuk secara atas talian, sekali gus memaksa mereka membuat pengesahan manual di kaunter lapangan terbang.

Sedangkan sebelum ini JIM telah merujuk kepada Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menjelaskan had lebih 10 tahun itu tidak menghalang pemegang PMA untuk melakukan penerbangan antarabangsa.

Maka bagi meredakan isu yang timbul, JIM mencapai keputusan menyeragamkan tempoh sah laku PMA untuk mengelakkan percanggahan data disebabkan tambahan tempoh sah laku 6 bulan yang mengelirukan sesetengah syarikat penerbangan.

Disebabkan itu, pengeluaran PMA dengan tempoh lebih 10 tahun dihentikan sehingga isu berkenaan mencapai penyelesaian bersama ICAO dan syarikat penerbangan antarabangsa. JIM memaklumkan bahawa semua pemegang pasport tempoh lebih 10 tahun sedia ada layak untuk mendapatkan penggantian pasport baharu dengan had maksimum 10 tahun secara percuma.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berdekatan bagi memastikan dokumen perjalanan berada dalam keadaan teratur serta mengelakkan sebarang gangguan atau penangguhan penerbangan.