Artikel

Rakyat Digital Dilancarkan – Tawar Akses Coursera Percuma Buat 100,000 Rakyat Malaysia

Dalam usaha memacu hala tuju teknologi negara ke arah wawasan sebagai sebuah Negara AI menjelang tahun 2030, Kerajaan secara rasmi melancarkan portal Rakyat Digital di acara AI Malaysia Takeover 2026 hari ini. Pelancaran ini menjadi simbolik kepada komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan pembelajaran kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran digital lebih fleksibel, inklusif, dan mudah diakses oleh seramai mungkin rakyat Malaysia.

Fokus utama portal ini adalah untuk memperkasa masyarakat daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta, pembina, dan inovator AI tempatan. Ia menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran baharu, termasuk Digital Literacy Hub untuk membina asas digital yang kukuh. Selain itu, AI Builders Hub berasaskan konsep hibrid turut diperkenalkan bagi memberi ruang fizikal dan dalam talian kepada rakyat untuk belajar, bereksperimen, serta membangunkan penyelesaian AI bagi menangani cabaran dunia sebenar.

Menariknya portal ini kelak akan menawarkan akses percuma kepada platform pembelajaran Coursera selama 3 bulan. Melalui inisiatif ini, 100,000 rakyat Malaysia akan menerima akses percuma untuk meneroka serta melengkapkan lebih 16,000 kursus dan pensijilan profesional bertaraf dunia. Peluang ini direka khas bagi membolehkan tenaga kerja tempatan meningkatkan kemahiran serta mempelajari kepakaran baharu yang berimpak tinggi dalam pasaran kerjaya moden.

Bagi menyemarakkan lagi pembudayaan teknologi dalam kalangan belia, Kerajaan turut mengumumkan bahawa bermula 31 Ogos ini, sehingga 100,000 rakyat Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun akan menerima akses percuma selama 3 bulan kepada pelbagai alat AI terkemuka.