Menyedari kumpulan diaspora terus meningkat secara berkala, pengendali rangkaian pembayaran mudah alih utama India, National Payments Corporation of India (NPCI) – kini merancang untuk memanfaatkan lebih 35 juta rakyat India di luar negara (diaspora) sebagai batu loncatan bagi meluaskan platform Unified Payments Interface (UPI) ke peringkat global.
Menurut laporan Bloomberg, NPCI menyasarkan peluasan ke 15 hingga 20 pasaran negara dalam tempoh 10 tahun akan datang. Langkah strategik ini sekali gus meletakkan India sebagai antara peneraju utama dalam arena transaksi kewangan rentas sempadan.
Strategi ini berteraskan kekuatan kumpulan diaspora India yang merekodkan aliran kiriman wang antarabangsa tertinggi di dunia, iaitu melebihi US$155 bilion setakat Mac lalu. Selain memudahkan pindahan wang secara terus, peluasan UPI dijangka melancarkan transaksi bagi sektor pelancongan dan perdagangan. Bagi merealisasikannya, NPCI kini sedang berada dalam fasa perbincangan bersama beberapa negara termasuk Malaysia, Jepun, dan Bahrain untuk mengintegrasikan UPI dengan sistem pembayaran tempatan masing-masing.
Peluasan global ini dibina atas kejayaan UPI yang telah pun bertapak di 9 negara, termasuk Singapura, Perancis, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Menurut data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), UPI merupakan sistem pembayaran masa nyata terbesar di dunia dari segi jumlah transaksi. Platform ini telah mengubah lanskap kewangan harian di India dengan membolehkan pindahan akaun ke akaun secara terus menerusi telefon bimbit tanpa kebergantungan penuh kepada rangkaian kad kredit tradisional.
Sebagai langkah ke hadapan, NPCI turut meneroka integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi platform digital seperti ChatGPT dan Gemini. Langkah inovatif ini bertujuan untuk membolehkan urusan pembayaran digital dilaksanakan dengan lebih intuitif dan mesra pengguna pada masa hadapan.