Artikel

Bettr, Muslim Pro Perkenal Pembiayaan Umrah Secara Ansuran Di Malaysia

Syarikat cabang teknologi kewangan (fintech) Ant International iaitu Bettr dilihat meluaskan jejak perkhidmatannya apabila hari ini mengumumkan kerjasama dengan Muslim Pro – menyediakan penyelesaian pembiayaan Umrah di Malaysia.

Penyelesaian ini untuk makluman direka khas buat pengguna Islam yang layak dan berkemampuan namun memilih untuk mengagihkan kos dalam ruang masa yang lebih fleksibel di samping mengekalkan simpanan mereka susulan memiliki tanggungan isi rumah.

Dengan menggunapakai struktur Tawarruq dalam menawarkan fleksibiliti pembayaran, proses ini jelas Bettr akan disokong menerusi AS-SIDQ iaitu plaform perdagangan komoditi digital hak cipta di bawah Sedania As Salam Capital. Struktur ini untuk makluman telah meraih kelulusan dan pengesahan daripada penasihat kewangan Islam Masryef Advisory dalam memastikan segala proses transasksi mematuhi piawaian Syariah.

Maka melalui Muslim Pro, pengguna Malaysia yang layak boleh meneroka pelbagai pakej Umrah yang ditawarkan oleh rakan kerjasama yang mengambil bahagian, memohon pembiayaan secara digital, serta memilih tempoh ansuran antara 12 hingga 24 bulan, tertakluk kepada kriteria kelayakan dan syarat yang ditetapkan. Pengguna juga boleh membuat penyelesaian awal pembiayaan mengikut syarat yang terpakai. Pakej yang disediakan merangkumi pilihan standard hingga premium dan boleh meliputi perjalanan untuk individu mahupun keluarga, termasuk tiket penerbangan, penginapan, makanan, dan pengangkutan darat.