Selari dengan pengenalan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional pada Julai lalu, kumpulan pemandu teksi kini diberi kelonggaran untuk melesenkan atau menukar kenderaan selain model Proton S70 yang dilaraskan di bawah pakej pertukaran kenderaan perkhidmatan tersebut.
Kelonggaran ini menurut notis Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekali gus memberi kelegaan kepada pemohon yang telah mempunyai kenderaan sedia ada atau tidak berjaya mendapatkan pembiayaan sewa beli. Sebagai penjelasan untuk kenderaan teksi yang tidak ditukar ganti di bawah program ini kekal dibenarkan beroperasi sehingga tamat had usia kenderaan yang ditetapkan.
Dengan kelonggaran sedemikian, langkah ini secara langsung mengalakkan lebih ramai pemandu teksi untuk beralih kepada program bagi menikmati pelbagai insentif yang ditawarkan. Antaranya menyokong pengurangan kos pembaikan, servis dan perkhidmatan penyelanggaraan lain. Usaha ini sekali gus menambahbaik perolehan bulanan pemandu teksi antara RM5,000 kepada RM7,000 sebulan. Bersama sokongan sedemikian, usaha ini tidak sekadar meningkatkan kualiti taraf hidup pemandu teksi bahkan meningkatkan aliran perbelanjaan ekonomi di pasaran hadapan secara berkala.