Perluasan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai perkara sememangnya dilihat memudahkan ramai pihak namun tidak pada aspek hak cipta. Sehingga kini karya yang dijana sepenuhnya menggunakan AI tanpa pembabitan manusia secara amnya tidak boleh dilindungi di bawah kerangka perundangan termasuklah Akta Hak Cipta 1987.
Setakat ini tiada kes mahkamah direkodkan di Malaysia yang menjadi duluan berkaitan pelanggaran hak cipta kesan penggunaan AI. Semua pihak perlu fahami setiap perubahan penguatkuasaan adalah tertakluk kepada aduan dan maklum balas pemain industri.
Melihat pada kelompongan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan ketersediaan untuk melaksanakan penyesuaian rangka perundangan semasa dengan ekosistem AI di Malaysia.
Penyesuaian ini jelas KPDN pada sidang Dewan Negara hari ini berupaya tertumpu pada beberapa aspek antaranya melibatkan pemilikan karya janaan AI, penggunaan karya hak cipta bagi tujuan melatih model AI terlibat, ketelusan penggunaan data latihan serta pendekatan yang terbaik untuk menyeimbangkan kedua segmen ini.
Adanya pelarasan ini, ia tidak sekadar melindungi ekosistem industri kreatif tempatan dan hak pemilik hak cipta tetapi turut mengalakkan penggunaan AI yang lebih teratur dalam menghasilkan karya di pasaran semasa.