Artikel

China Mula Guna e-CNY, Yuan Digital – Bayar Eksport Durian Segar Malaysia

Siapa sangka durian kini menjadi antara produk komoditi terawal yang merealisasikan pembayaran menggunakan wang digital rentas sempadan antara China dan Malaysia. Minggu lalu, China berjaya melaksanakan pembayaran luar negara pertamanya menggunakan Yuan Digital (e-CNY) ke Malaysia bagi melunaskan transaksi eksport durian segar bernilai 43,000 yuan (RM26,058).

Pencapaian ini untuk makluman adalah hasil pelancaran operasi komersial platform rentas sempadan e-CNY (CBETS) pada 16 Jun lalu. Infrastruktur baharu ini membolehkan bank luar negara memproses pembayaran digital 24 jam sehari tanpa perlu merombak sistem IT sedia ada. Sehingga kini CBETS telah mendaftarkan 26 institusi kewangan berlesen dari Hong Kong, Macau, Asia Tenggara, Timur Tenggah hingga ke Amerika Latin.

Bagi pasaran Malaysia, laporan SCMP menjelaskan transaksi ini dikendalikan oleh China Construction Bank (CCB) bersama kerjasama di cawangan CCB Labuan, Malaysia yang membolehkan pengimport tempatan membuat pembayaran secara terus menggunakan e-CNY.

Sebelum ini, transaksi perdagangan perlu menggunakan sistem rangkaian tradisional melibatkan Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT) yang memakan masa sehingga 3 hari bekerja selain dikenakan caj pemprosesan dan kos pertukaran mata wang sehhingga $35.

Namun melalui pendekatan e-CNY tersebut, pemindahan lejar digital secara terus membolehkan transaksi diselesaikan dalam masa 30 minit sahaja, sekali gus memberi penjimatan masa dan menghapuskan caj tambahan.