Menjelang Hari Pahlawan, AEON Bank kini mengumumkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh menggunakan kad pengenalan MyTentera pada proses pengesahan eKYC dan laksana pendaftaran aplikasi perbankan digitalnya. Integrasi ini sekali gus memudahkan anggota tentera Malaysia mengesahkan identiti mereka dengan lebih pantas dan selamat semasa proses pendaftaran akaun.
Dengan akses tersebut, para pengguna secara terus boleh menikmati rangkaian penuh produk dan perkhidmatan perbankan patuh Syariah AEON Bank, termasuk Akaun Simpanan-i, Kad Debit-i AEON Bank x Visa, Deposit Bertempoh-i, Savings Pot, DuitNow QR, Zakat, Takaful, JomPAY, pembayaran bil utiliti, serta pelbagai perkhidmatan pembayaran digital menerusi rakan strategik dan rangkaian peniaga AEON Bank.
Menerusi perluasan pendaftaran bank digital ini, AEON Bank akan terus fokus dalam usaha mengurangkan kekangan perbankan, lantas membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman perbankan yang lebih dinamik di samping menyumbang kepada pertumbuhan perbankan Islamik di rantau ini, serta menyokong pembangunan ekonomi digital Malaysia.
Selain AEON Bank, terdapat beberapa penyedia kewangan lain turut menyokong penggunaan MyTentera seperti TNG eWallet, Setel dan Ryt Bank.