Isu pembayaran bonus kepada eksekutif dan kakitangan Lembaga Tabung Haji (LTH) antara tahun 2010 hingga 2017 telah menarik perhatian banyak pihak berikutan kadarnya yang sangat tinggi. Berdasarkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), LTH telah membelanjakan peruntukan yang besar bagi membayar bonus tahunan dan khas serendah dua bulan sehingga mencecah 13 bulan gaji.
Kemuncak pembayaran luar biasa ini dapat dilihat pada tahun 2014, di mana peruntukan sebanyak RM74 juta telah diluluskan bagi menampung pembayaran bonus berlebihan ini, berasaskan faktor bahawa badan berkanun tersebut menjana keuntungan operasi yang besar.

Namun siasatan mendalam mendapati angka keuntungan besar yang dijadikan sandaran tersebut sebenarnya adalah tidak wajar dan mengelirukan. LTH didapati membuat penilaian aset-asetnya berdasarkan kaedah Realisable Asset Value (RAV) yang menunjukkan seolah-olah organisasi berkenaan memperoleh keuntungan melonjak pada setiap tahun. Kaedah penilaian ini memberi gambaran tidak tepat tentang kestabilan kewangan LTH, sedangkan hakikat sebenar kedudukan akaun mereka adalah jauh berbeza daripada apa yang direkodkan.
Isu ini menjadi lebih kritikal apabila Jabatan Audit Negara (JAN) mengesahkan bahawa LTH sebenarnya mengalami kemelut kewangan yang serius bermula tahun 2014 hingga 2017. Dalam tempoh berkenaan, nilai aset sebenar LTH adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah liabiliti yang ditanggungnya. Fenomena ini membuktikan bahawa pembayaran bonus tinggi tersebut adalah tidak wajar sama sekali kerana dibayar mengikut keuntungan di atas kertas, bukannya berdasarkan keupayaan kewangan sebenar yang kukuh.
Maka untuk mengelakkan kelemahan tersebut berulang, RCI dapati langkah pembetulan telah diambil TH bermula tahun kewangan 2018. Yang mana kini LTH telah memperketat dan mengawal kaedah pemberian bonus kepada kakitangan dengan mematuhinya mengikut kemampuan kewangan sebenar serta garis panduan Perbendaharaan. Perubahan ini penting bagi meletakkan semula tadbir urus kewangan LTH di landasan yang betul demi memelihara integriti organisasi dan melindung dana pendeposit.