Artikel

RCI Dedah TH Sebenarnya Rugi RM1.4 Bilion Pada 2017, Bukan Untung RM3.4 Bilion

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diterbitkan JAKIM pada hari ini – mendedahkan bahawa kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2017 berada dalam keadaan sangat kritikal. Walaupun laporan rasmi pada masa itu mengumumkan keuntungan sebanyak RM3.4 bilion, hakikat sebenar menunjukkan sebaliknya. Sekiranya piawaian perakaunan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) diguna pakai sepenuhnya, TH sebenarnya mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.4 bilion.

Punca utama jurang keuntungan tidak tepat ini berlaku disebabkan oleh tindakan pengurusan TH yang mengubah polisi rosot nilai sebanyak dua kali pada tahun yang sama. Melalui langkah ini, kerugian sebenar bernilai RM227.81 juta daripada pelaburan dalam syarikat subsidiari dan bersekutu—khususnya TH Heavy Engineering Berhad telah diabaikan dan tidak direkodkan.

Selain itu, TH turut memasukkan pendapatan dividen daripada anak syarikat ke dalam akaun keuntungan walaupun duit dividen tersebut belum pernah diterima.

Dapatan ini turut disokong oleh semakan kewangan oleh firma audit PwC serta teguran rasmi daripada Ketua Audit Negara (KAN). Selain kegagalan mengiktiraf kemerosotan nilai pelaburan, TH juga didapati melanggar piawaian perakaunan hartanah (FRS 140) apabila tidak mencatatkan penurunan nilai saksama bagi hartanah yang telah jatuh harga. Semua manipulasi teknikal perakaunan ini dilakukan semata-mata untuk menampakkan akaun TH sentiasa berbaki positif dan kukuh di mata awam.

Impak terbesar daripada penyembunyian kerugian ini adalah pengagihan keuntungan (hibah) kepada pendeposit bagi tahun 2017. Mengikut Akta Lembaga Tabung Haji 1995, TH dilarang sama sekali membayar hibah sekiranya aset kurang daripada liabiliti iaitu jika mengalami defisit. Oleh kerana TH sebenarnya mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion, pembayaran hibah pada tahun tersebut diputuskan sebagai tidak sah dari sudut akta dan berisiko menjejaskan kestabilan kewangan TH untuk jangka masa panjang.