Artikel

Malaysia Mampu Jadi Negara Berpendapatan Tinggi Seawal 2028 

Prestasi ekonomi semasa memperlihatkan Malaysia kini berada pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan matlamat, melepasi ambang negara berpendapatan tinggi di pasaran global. Berdasarkan perkembangan semasa, Malaysia berpotensi meraih status negara berpendapatan tinggi sekitar 2028 hingga 2030.

Setakat ini Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita Malaysia merekodkan jumlah RM57,200 setahun iaitu sekitar $13,351 bagi tahun 2025. Rekod ini menunjukkan, negara memerlukan lonjakan sekitar 7.1% lagi untuk melepasi nilai ambang selaku negara berpendapatan tinggi iaitu berdasarkan ambang Bank Dunia ialah $14,375.

Lonjakan 7.1% ini untuk makluman mewakili jarak pertumbuhan yang perlu dicapai Malaysia sama ada melalui peningkatan prestasi pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), produktiviti buruh mahupun pengukuhan nilai Ringgit berbanding US Dolar.

Potensi yang didasari berlandaskan tinjauan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam laporan Kaji Selidik Ekonomi Malaysia 2026 ini dijelaskan berupaya dicapai dengan sokongan fiskal secara berterusan dilanjutkan pentadbiran negara.

Secara menyeluruh, sasaran itu dijangka dapat diraih berikutan Malaysia telah memiliki rekod prestasi ekonomi yang positif antaranya miliki tahap daya tahan yang kukuh melepasi era Krisis Kewangan Asia 1997-1998, Krisis Kewangan Global, COVID-19 dan terbaharu sedang mendepani era krisis Asia Barat.