Artikel

Khazanah Jual Saham TNB Bernilai RM1.39 Bilion – Kini Pegangan Mengecil Kepada 16.33%

Khazanah Nasional, dana kekayaan negara kini dilihat telah melepaskan sebanyak 100 juta unit saham pegangan terus dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 22 Julai lalu, setelah dimuktamadkan pada 24 Julai lalu. Penjualan ini untuk makluman direalisasikan pada harga RM13.91 sesaham iaitu diskaun 4.5% berbanding harga penutup yang direkodkan pada hari sebelumnya RM14.56 sesaham – menjadikan jumlah penjualan pegangan itu sekitar RM1.39 bilion.

Berdasarkan makluman di Bursa Malaysia, pelupusan ini telah mengurangkan pegangan terus Khazanah dalam syarikat utiliti nasional negara kepada 821.97 juta unit (14.1%). Apabila digabungkan dengan pegangan tidak langsung sekitar 130 juta unit (2.23%) – jumlah keseluruhan pegangan yang dimiliki Khazanah dalam TNB kini diparas 16.33%.

Langkah pengurangan ini dilihat selari dengan strategi pengurusan portfolio Khazanah untuk mengurangkan saham dalam beberapa syarikat terpilih bagi menggunakan dana sedemikian pada tindakan tumpuan pelaburan lain serta pembiayaan semula hutang dan keperluan operasi.