Artikel

SST Dianggar Kutip Hampir RM60 Bilion Lebih Tinggi Berbanding GST – Pada 2026

Tahun 2025 memperlihatkan sejumlah RM55.9 bilion kutipan hasil cukai tidak langsung telah direkodkan Malaysia kesan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di pasaran semasa. Bersama pengembangan positif itu dijangka tahun 2026 akan memperlihatkan kutipan yang lebih tinggi dengan anggaran RM59.6 bilion kutipan SST direkodkan.

Jumlah ini sekali gus memaparkan rekod kutipan hasil yang lebih tinggi berbanding pelaksanaan GST sebelum ini.

Kesemua kutipan ini jelas notis Parlimen akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan selaras dengan Artikel 97, Perlembagaan Persekutuan – untuk membiayai perbelanjaan mengurus termasuklah program yang bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dan sebahagian perbelanjaan pembangunan negara.

Ini merangkumi peruntukan pada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Jabatan Kebajikan dan Pas Bulanan My50.

Menerusi perkembangan kutipan cukai tidak langsung ini – SST dilihat secara berkala telah mengukuhkan sumber hasil negara tanpa membebankan majoriti rakyat. Dengan perolehan tersebut, memberi pulangan semula kepada rakyat dalam pembangunan, kemudahan infrastruktur dan bantuan berkala di pasaran hadapan.