Artikel

Harga Petrol Tidak Boleh Diturunkan Sewenangnya – Beban Subsidi Kini RM40 Bilion Setahun

Biarpun Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar petroleum, harga bahan api tersebut tidak boleh diturunkan sewenangnya. Sebaliknya, penetapan harga minyak perlu diimbangi secara teliti dengan mengambil kira faktor permintaan, bekalan global, serta kesan krisis ekonomi semasa.

Langkah berhati-hati ini jelas Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada laporan BH turut diamalkan oleh negara pengeluar gergasi lain sebagai contoh, Arab Saudi yang merupakan antara pengeluar terbesar dunia tetap melaraskan harga minyak mereka sekitar RM2.40 hingga RM2.50 seliter.

Faktor utama yang mengekang penurunan harga ini adalah realiti di mana Malaysia sebenarnya masih perlu mengimport hampir 50% daripada keperluan petroleum negara. Malah, tanggungan pasaran global yang tidak menentu ini diserap oleh kerajaan demi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Hasilnya, kerajaan sehingga kini masih mampu mengekalkan harga petrol subsidi yang stabil untuk kegunaan domestik. Walau bagaimanapun, kebajikan ini menuntut kos yang amat besar, di mana jumlah keseluruhan tanggungan subsidi di Malaysia kini telah mencecah RM40 bilion setahun khusus untuk petrol dan diesel sahaja.