Artikel

Stripe, Advent Tawar Beli PayPal – Pada Nilai Lebih $53 Bilion

Awal bulan ini memperlihatkan satu perkembangan besar dalam industri teknologi kewangan apabila terdapat tawaran dikemukakan untuk mengambil alih PayPal Holdings Inc. Menurut laporan Reuters, langkah berani ini diterajui melalui pakatan bersama antara syarikat pembayaran terkemuka, Stripe dan firma ekuiti swasta global, Advent International.

Pengambilalihan ini dilaporkan menilai PayPal pada kadar keseluruhan melebihi AS$53 bilion.

Di bawah cadangan tersebut, kedua-dua syarikat itu menawarkan harga AS$60.50 bagi setiap unit saham PayPal. Bagi memastikan kelancaran transaksi berskala besar ini, Stripe dan Advent telah berjaya meraih sokongan dana yang kukuh menerusi pembiayaan komited sekitar AS$50 bilion daripada konsortium pihak bank. Struktur pembelian ini juga diatur untuk pemilikan secara bersama tanpa memecahkan entiti asal PayPal.

Nilai tawaran yang dikemukakan itu adalah sangat kompetitif untuk menarik perhatian pemegang saham. Ini kerana harga AS$60.50 sesaham itu mewakili premium kira-kira 28% lebih tinggi berbanding harga penutup pasaran saham PayPal pada hari Selasa sebelum pengumuman tersebut dibuat. Nilai premium yang tinggi ini mencerminkan keyakinan besar Stripe dan Advent terhadap potensi jangka panjang PayPal.

Walau bagaimanapun, status urus niaga ini masih berada di peringkat awal dan kesemua pihak tidak memberi maklum balas akan status perkembangan rundingan.