Artikel

Trump Batalkan Caj 20% Selat Hormuz – Alih Fokus Ke Pelaburan Teluk

Krisis geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat terus kritikal selepas AS menguatkuasakan semula sekatan ekonomi terhadap Tehran. Sebelum ini, Washington memaklumkan akan mengambil alih tanggungjawab keselamatan di Selat Hormuz, sekali gus merancang untuk mengenakan caj keselamatan sebanyak 20% ke atas setiap kapal komersial yang melalui laluan maritim strategik tersebut.

Bagaimanapun, melalui perkembangan terbaharu hasil perbincangan bersama para pemimpin Asia Barat, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa pelaksanaan caj 20% itu dibatalkan sepenuhnya. Sebagai ganti, komitmen tersebut akan dialihkan kepada penerokaan potensi pelaburan bersama dengan negara-negara Teluk yang dijangka mampu memberikan nilai tambah yang signifikan kepada sektor perdagangan AS.

Projek pelaburan berskala besar ini disasarkan merangkumi pembangunan kilang, loji industri, serta pembekalan peralatan teknologi tinggi. Biarpun AS masih belum memperincikan pihak yang terlibat mahupun jumlah komitmen rasmi, mereka menegaskan bahawa penamatan caj tersebut membolehkan laluan Selat Hormuz dibuka semula kepada semua kapal komersial antarabangsa, kecuali kapal yang dimiliki Iran.