Seperti yang umum sedia maklum, bermula 1 Julai lalu syarat kemasukan bagi kenderaan elektrik (EV) import yang dipasang di luar negara (CBU) telah diperketatkan – di mana semua model CBU perlu mematuhi had nilai Kos, Insurans, dan Tambang (CIF) minimum RM200,000 dengan kapasiti output 180 kilowatt (kW). Pelaksanaan ini bermakna akan memberi kesan ke atas harga EV import di pasaran Malaysia.
Menyedari penguatkuasaan itu meraih pelbagai tentangan – kerajaan memaklumkan pihaknya tidak bercadang untuk menarik balik keputusan tersebut susulan ia selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP). Jelas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dasar ini bertujuan merasionalisasikan kemasukan model EV bagi melengkapkan tawaran produk dalam pasaran, di samping memastikan pembangunan industri automotif tempatan yang berdaya saing dan mampan.
Selari dengan komitmen itu, kerajaan masih meneruskan pengecualian 100% duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027. Inisiatif ini membolehkan pengeluar untuk menawarkan model EV pada harga yang lebih kompetitif di samping mengalakkan aktiviti pemasangan tempatan, pemindahan teknologi dan pembanguna vendor tempatan.
Pendekatan ini penting untuk memastikan rakyat Malaysia berupaya memiliki EV pada harga berpatutan dan meningkatkan infrastruktur di pasaran secara berkala.