Artikel

PolicyStreet Raih Pelaburan Tambahan $5 Juta BlueOrchard – Pada Pusingan Siri C

PolicyStreet, salah satu syarikat teknologi insurans Asia Tenggara kini telah menerima pelaburan tambahan sebanyak $5 juta daripada pengurus pelaburan impak global, BlueOrchard. Pelaburan ini menjadikan jumlah keseluruhan dana Siri C mereka kini mencecah $26 juta. BlueOrchard kini menyertai barisan pelabur besar lain termasuk dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Berhad dan Cool Japan Fund, bagi menyokong misi syarikat dalam menyediakan insurans yang lebih mampu milik.

Untuk makluman, PolicyStreet menyepadukan pelan perlindungan secara langsung ke dalam produk dan perkhidmatan digital harian. Pendekatan ini memudahkan masyarakat, terutamanya golongan yang sering terlepas pandang seperti pekerja gig dan perniagaan kecil (PKS), untuk mendapatkan perlindungan insurans dengan mudah dan pantas. Setakat ini, mereka telah menawarkan perkhidmatan kepada lebih 10 juta pelanggan, di mana hampir 10% daripadanya adalah pekerja gig.

Suntikan modal baharu ini akan digunakan oleh PolicyStreet untuk memperkukuh keupayaan teknologi mereka, meluaskan kerjasama digital, dan memacu pertumbuhan perniagaan ke seluruh rantau Asia Tenggara. Menjelang tahun 2030, syarikat ini menyasarkan untuk melindungi lebih ramai golongan yang memerlukan dengan sasaran melayani 1.5 juta pekerja gig dan 300,000 PKS demi merapatkan jurang perlindungan insurans di rantau ini.