Foodie Media Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Mei 2026, dengan keuntungan bersih melonjak sebanyak 21.6% kepada RM4.06 juta berbanding RM3.34 juta pada suku terdahulu.
Lonjakan ketara ini sebahagian besarnya didorong oleh penurunan drastik perbelanjaan penyenaraian sebanyak 95.7% kepada hanya RM0.03 juta bagi suku semasa. Jika kesan kos bukan berulang ini dilaraskan, keuntungan bersih teras syarikat kekal stabil dan konsisten pada paras RM4.09 juta, mencerminkan daya tahan operasi perniagaan yang kukuh.
Pertumbuhan hasil kumpulan turut meningkat 5.5% suku-ke-suku kepada RM13.92 juta, diterajui oleh lonjakan luar biasa dalam segmen komuniti yang berkembang sebanyak RM1.11 juta kepada RM1.85 juta.
Prestasi ini turut didorong oleh penganjuran sulung festival syarikat, Monie Fest di bawah portfolio pengurusan acaranya. Selain itu, segmen Content yang merupakan penyumbang utama hasil syarikat turut berkembang kepada RM7.99 juta berikutan permintaan yang berterusan terhadap kandungan tajaan dan perkhidmatan pengiklanan digital.