Artikel

Pos Malaysia Tutup Sepenuhnya Semua Cawangan Pos Shop

Berkuat kuasa 15 Julai 2026, Pos Malaysia akan menutup sepenuhnya semua cawangan kedai serbaneka kumpulan iaitu Pos Shop.

Langkah penutupan ini disahkan sebagai sebahagian daripada fokus strategik syarikat logistik negara tersebut untuk memperkukuh semula segmen perkhidmatan terasnya, yang merangkumi perkhidmatan pos, penghantaran bungkusan, dan logistik.

Menurut maklum balas rasmi daripada pihak Pos Malaysia – tindakan ini membolehkan syarikat memberikan tumpuan yang lebih baik terhadap usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan bagi penawaran perniagaan utamanya.

Untuk rekod, Pos Shop mula diperkenalkan kepada umum pada April 2023 sebagai sebahagian daripada pelan transformasi Pos Malaysia untuk mempelbagaikan aliran pendapatan dengan menyatukan segmen penghantaran dan peruncitan.

Sepanjang tempoh operasinya, jenama runcit ini telah berkembang sehingga memiliki 50 cawangan di seluruh pasaran Malaysia. Malah, beberapa cawangan terpilih turut dilengkapi dengan Pos Kafe—sebuah konsep kafe santai yang menawarkan pilihan makanan dan minuman (F&B) khusus buat pelanggan yang menggunakan khidmat logistik mereka.

Dengan makluman penutupan itu, tinjauan Rnggt pada laman web rasmi Pos Malaysia turut mendapati segmen maklumat mengenai Pos Shop kini tidak lagi dipaparkan pada menu perkhidmatan jenama tersebut. Sebelum ini, portal berkenaan merupakan rujukan utama bagi pengguna untuk menyemak senarai lokasi cawangan aktif serta promosi runcit semasa.