Artikel

Putrajaya, KL Dan Selangor Catat Kos Sara Hidup Tertinggi – Dorong Lonjakan Golongan ‘Working Poor’

Trend kenaikan harga barangan dan perkhidmatan asas pada pasaran semasa jelas menunjukkan tekanan kos sara hidup di Malaysia kekal meningkat secara berkala. Situasi ini jelas memberi tekanan kepada masyarakat khususnya golongan bekerja tetapi masih miskin (working poor) yang dilihat semakin meningkat.

Makluman itu jelas Kementerian Ekonomi pada notis lisan Parlimen – menggariskan antara negeri yang mencatatkan tahap kos sara hidup yang tinggi adalah Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. Tatkala Kelantan dan Kedah pula kekal menjadi negeri miliki tahap kos sara hidup yang terendah.

Maka untuk mengimbangi isu tersebut, di bawah RMK13 bagi tempoh 2026 sehingga 2030 – kerajaan optimis menangani kos sara hidup dengan strategi serampang dua mata iaitu meningkatkan pendapatan rakyat dan membendung kenaikan kos barangan serta perkhidmatan. Usaha ini setakat 2026 merangkumi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (RM15 bilion), bantuan JKM (RM3.1 bilion), Payung Rahmah (RM600 juta), Program Penyeragaman Harga Barang Sabah, Sarawak dan Labuan (RM67 juta) serta pelaksanaan subsidi sasar dan penggunaan PADU sebagai sumber rujukan untuk agihan perlindungan kepada kumpulan yang layak.