Artikel

HitPay Rapatkan Jurang Digital, Kini Bantu Peniaga Kecil Muncul Dalam Hasil Carian AI

Platform pembayaran digital serantau, HitPay mengumumkan bahawa HitPay Online Store di Malaysia kini dilengkapi ciri kecerdasan buatan (AI) secara automatik dengan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bersaing dalam era digital, membolehkan kedai mereka dikesan oleh pembantu beli-belah AI tanpa memerlukan kos pembangunan teknologi yang tinggi.

Akses ini penting memandangkan trend membeli-belah mula beralih daripada carian biasa di Google kepada interaksi langsung dengan pembantu AI. Di peringkat serantau, data menunjukkan hampir 40% pengguna di Asia-Pasifik sudah menggunakan AI untuk aktiviti membeli-belah dalam talian. Melalui ciri baharu ini, HitPay menyediakan kod khas membolehkan ciri AI mengesan nama produk, harga terkini, dan baki stok di kedai-kedai kecil ini secara masa nyata.

Tindakan ini juga akan merapatkan jurang digital pada pasaran Malaysia, yang mana ketika ini lebih tertumpu kepada perniagaan yang besar. Dengan integrasi automatik ini, HitPay merapatkan jurang tersebut dan memberikan peluang saksama kepada jenama tempatan untuk muncul dalam senarai cadangan pembantu AI.