Bagi ibu bapa yang menabung untuk masa hadapan anak-anak, pastinya isu pengurusan simpanan tersebut menjadi kerisauan utama sekiranya berlaku perkara luar jangka pada mereka. Memahami kegusaran itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini berada di peringkat akhir ke arah memperkenalkan konsep Hibah bagi kedua produk tabungannya iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
Langkah proaktif ini menurut makluman notis di Parlimen, diambil bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan pendidikan anak-anak sentiasa terpelihara tanpa gangguan birokrasi yang renyah.
Secara mudahnya, sekiranya konsep ini dilaksanakan kelak, wang simpanan akaun SSPN kelak dapat dipindahkan secara terus kepada anak selaku penerima manfaat jika pendeposit meninggal dunia. Kelebihan konsep ini membolehkan dana pendidikan tersebut dialihkan tanpa perlu melalui proses pembahagian faraid atau pengagihan harta pusaka biasa yang secara amnya mengambil masa yang lebih lama. Ini bermakna keperluan dana pendidikan anak-anak kekal dipenuhi tanpa sebarang penundaan.
Namun perihal ini hanya dapat direalisasikan setelah konsep tersebut meraih kelulusan sewajarnya daripada sudut perundangan dan syariah. Penelitian ini amat penting untuk menjamin hak dan perlindungan perundangan yang sah buat pendeposit mahupun penerima manfaat di pasaran hadapan.