Artikel

Singapura Bentang RUU – Hukum Pemandu Pegang Telefon, Perketat Kes Pemandu Mabuk

Rekod Mac lalu menunjukkan secara puratanya 2,800 pemandu dikenakan saman setiap tahun bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana menggunakan peranti komunikasi ketika sedang memandu. Data ini sekali gus membawa kepada tindakan Singapura membentangkan Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (pindaan lain) bagi mengenakan hukuman yang lebih serius ke atas kumpulan pemandu tersebut. 

Tumpuan ini tidak hanya terpakai ke atas telefon pintar bahkan diperluas kepada penggunaan tablet dan jam pintar.

Berdasarkan justifikasi perundangan Singapura mengikut laporan, pengenaan hukuman yang lebih luas ini untuk memastikan perlindungan pengguna jalan raya lain terus dipelihara dengan lebih baik. Ini kerana tiada keperluan untuk seorang pemandu memegang peranti komunikasi ketika kenderaan sedang bergerak. Perihal tersebut dilihat boleh menganggu tumpuan pemandu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Selain perluasan itu, Singapura juga ingin memperketatkan peraturan ke atas pemandu mabuk. Ketika ini dicadangkan had alkohol menerusi ujian nafas diturunkan kepada 15 mikrogram daripada 35 mikrogram untuk setiap 100 ml nafas manakala had alkohol dalam darah pula akan dikurangkan daripada 80 miligram kepada 30 miligram (0.03%) setiap 100 ml darah.

Melihat pada cadangan itu, sekiranya diluluskan peraturan tersebut akan menjadi jauh lebih ketat berbanding apa yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini. Buat pengetahuan umum, Malaysia setakat ini melaraskan tahap alkohol menerusi ujian nafas adalah 22 mikrogram setiap 100ml nafas dan 50 miligram (0.05%) setiap 100ml darah.