Selain pekerjaan hakiki, ternyata penduduk Malaysia secara puratanya direkodkan memperuntukan 5 jam 12 minit sehari untuk kerja domestik dan penjagaan yang tidak berbayar.
Dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini didasari Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025. Statistik ini menjadi asas penting penggubalan dasar berkaitan keseimbangan kerja-kehidupan, pembangunan sosial dan kesaksamaan gender.
Berdasarkan taburan lokasi, terdapat sedikit perbezaan dalam masa yang diluangkan untuk kerja tidak berbayar antara penduduk bandar dan luar bandar. Penduduk luar bandar memperuntukkan 21.7% daripada masa harian mereka (5 jam 13 minit) bagi kerja tidak berbayar, berbanding 21.5% (5 jam 10 minit) dalam kalangan penduduk bandar.
Sementara mengikut kumpulan umur pula, individu berusia 45 hingga 54 tahun memperuntukkan bahagian masa tertinggi bagi kerja tidak berbayar, iaitu 23.8% (5 jam 43 minit sehari), diikuti oleh kumpulan umur 25 hingga 44 tahun (23.3%; 5 jam 35 minit) dan 55 hingga 64 tahun (23.0%; 5 jam 31 minit). Sebaliknya, individu berumur 15 hingga 24 tahun memperuntukkan masa paling rendah (16.2 %; 3 jam 53 minit).
Manakala berdasarkan tahap keupayaan pula, golongan bukan OKU memperuntukkan purata 21.7% daripada masa harian (5 jam 12 minit) bagi kerja tidak berbayar, berbanding 12.5% (2 jam 59 minit) dalam kalangan OKU.
Namun berlandaskan jantina, wanita di Malaysia memperuntukkan 25.5% iaitu 6 jam 7 minit daripada masa harian bagi kerja tidak berbayar – mencerminkan jurang jantina yang masih berterusan tatkala lelaki hanya 4 jam 20 minit (18.1%) sahaja.
