Artikel

Melaka Kini Laksana Inisiatif Pasang Kod QR Tag Pada Haiwan Ternakan

Dalam usaha mengukuhkan pemantauan ternakan dan memudahkan proses mengenalpasti pemilik ternakan – Melaka kini mengambil inisiatif perkenalkan sistem Tag Kod QR pada haiwan ternakan di bawah negeri tersebut.

Inisiatif digital yang diterajui secara bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka ini tidak sekadar meningkatkan kecekapan pemantauan ternakan tetapi turut membantu perkasakan amalan tanggungjawab kalangan penternak ke atas haiwan ternakan mereka.

Sebagai penjelasan, setiap ternakan yang berdaftar akan di pasang tag pada telinga yang mengandungi kod QR serta nombor pengenalan unik. Usaha ini membolehkan maklumat asas penternakan dapat diakses dengan segera melalui imbasan telefon pintar – merangkumi maklumat pemilik haiwan ternakan, lokasi ternakan, rekod kesihatan dan pergerakan ternakan.

Setakat fasa awal ini direkodkan sebanyak 2,000 haiwan ternakan telah dipasang kod QR Tag tersebut dan bagi mengalakkan penyertaan itu, kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan QR Tag berharga RM6.50 bagi setiap seekor ternakan sehingga akhir tahun ini.