Bank Negara Malaysia (BNM) kini telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP) sebanyak RM520,000 terhadap AEON Credit pada 6 April lalu susulan kegagalan syarikat untuk mematuhi keperluan sekatan kewangan bersasar (TFS).
Selaku institusi pelapor (RI), AEON Credit dikehendaki menolak pelanggan baharu yang tersenarai dalam Senarai UNSCR dan Senarai Domestik iaitu kumpulan yang terlibat di bawah seksyen 66(B)(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Malah AEON Credit juga dikehendaki untuk membekukan dana pelanggan apabila identiti pelanggan dikenal pasti sebagai entiti yang ditentukan dalam senarai tersebut. Proses ini sangat penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan.
Namun kegagalan mematuhi peraturan tersebut menyebabkan penalti ini dikenakan ke atas AEON Credit. Berdasarkan tinjauan BNM, ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan oleh tahap pengawasan kakitangan yang rendah serta kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) AEON Credit.
Dan berdasarkan hasil pemantauan BNM secara berkala, AEON Credit telahpun menambahbaik keperluan ciri sedemikian sebagaimana yang dilaraskan dan telah melunaskan denda tersebut pada 16 April lalu.