Artikel

Pelaburan Langsung Asing Malaysia Melonjak 41.2% – Rekod RM65.9 Bilion Pada 2025

Tahun 2025 memaparkan aliran kemasukan pelaburan asing yang positif ke Malaysia apabila berjaya merekodkan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM65.9 bilion. Jumlah tersebut memperlihatkan lonjakan besar sebanyak 41.2% berbanding tahun 2024 yang mencatatkan nilai sekitar RM46.7 bilion. Namun jumlah pendapatan yang diperoleh oleh syarikat asing yang beroperasi di Malaysia mengalami sedikit penurunan kepada RM98.2 bilion, berbanding RM100.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Di sebalik penurunan kecil itu, kedudukan kumulatif FDI negara terus mengukuh dan mencecah RM1,087.9 bilion pada akhir tahun 2025, meningkat daripada RM993.9 bilion yang direkodkan pada tahun 2024.

Persekitaran ini jelas tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), memperlihatkan sektor perkhidmatan muncul sebagai penyumbang terbesar kepada aliran FDI pada tahun 2025 dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM59.5 bilion, iaitu peningkatan ketara berbanding RM35.6 bilion pada tahun sebelumnya. Sektor-sektor lain yang turut menyumbang ialah sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak RM3.0 bilion, diikuti oleh sektor pembuatan sebanyak RM2.6 bilion. Bagi sektor perkhidmatan, tumpuan utama pelaburan adalah dalam subsektor maklumat dan komunikasi serta aktiviti kewangan dan insurans atau takaful.

Dari segi sumber pelaburan, Singapura, Hong Kong, dan China kekal sebagai negara utama yang menyumbang kepada aliran masuk FDI tersebut. Dari segi penjanaan keuntungan pula, sektor pembuatan kekal sebagai penerima utama pendapatan FDI bagi tahun 2025 dengan menjana sebanyak RM55.5 bilion, meningkat sedikit berbanding RM54.2 bilion pada tahun sebelum ini. Sektor perkhidmatan pula menduduki tempat kedua dengan mencatatkan pendapatan FDI sebanyak RM35.4 bilion, yang sebahagian besarnya disokong oleh aktiviti kewangan dan insurans atau takaful serta sektor perdagangan borong dan runcit.

Sementara berdasarkan taburan negara pelabur, syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat, Singapura, dan Hong Kong merupakan pelabur yang mencatatkan perolehan pendapatan tertinggi di Malaysia sepanjang tahun 2025.