AEON Credit terus memaparkan pengukuhan pada aliran perniagaan terasnya apabila mencatatkan kenaikan 3.4% pada untung bersih kepada RM383.17 juta pada prestasi kewangan semasa. Prestasi ini didorong hasil pertumbuhan dua angka pada portfolio pembiayaan melibatkan kenderaan motosikal dan perniagaan, yang secara langsung membolehkan kumpulan mengagihkan jumlah dividen keseluruhan yang menarik sebanyak 30.75 sen sesaham kepada para pemegang saham.
Namun pertumbuhan untung bersih ini diperhatikan sedikit terhad, setelah AEON Credit mengambil kira bahagian kerugian secara berkadar sebanyak RM85.22 juta daripada pelaburan dalam AEON Bank.
Pihak pengurusan pada sidang media pagi ini menjelaskan, kerugian tersebut adalah satu perkara yang lumrah dan dijangka bagi sesebuah bank digital baharu yang kini sedang rancak dalam fasa awal untuk mematangkan operasinya. Entiti perbankan digital tersebut memerlukan pelaburan modal yang besar bagi membina infrastruktur teknologi, memantapkan keselamatan siber, serta melaksanakan strategi pemasaran agresif untuk menarik deposit pelanggan.
Melangkah ke hadapan bagi tahun kewangan 2027, AEON Credit mengambil pendekatan yang optimis dengan menyasarkan pertumbuhan pinjaman sekitar 8% dan Pulangan Atas Ekuiti (ROE) pada paras 12%. Kumpulan juga bertindak menumpukan usaha kepada pelan integrasi ekosistem yang lebih pintar, terutamanya dalam memperkasa aplikasi AEON Walletsebagai hab digital utama yang menggabungkan perkhidmatan pembiayaan, perbankan digital, dan program kesetiaan bagi memacu nilai jangka panjang yang mampan.