Malaysia Airlines (MAB) dan Singapore Airlines (SIA) secara rasmi melancarkan perkongsian perniagaan strategik bersama melalui pengenalan produk tambang bersama bagi laluan antara Kuala Lumpur dan Singapura. Langkah komersial ini merupakan fasa pengoperasian penting selepas memorandum kerjasama terbabit dimuktamadkan pada Januari lalu berikutan kelulusan penuh daripada pihak kawal selia kedua-dua negara.
Pengenalan produk tambang baharu ini dibina berasaskan perjanjian perkongsian kod (codeshare) sedia ada yang telah terjalin antara kedua-dua syarikat penerbangan nasional tersebut. Melalui inisiatif ini, para penumpang kini mempunyai akses kepada pilihan kelas tambang yang lebih pelbagai serta fleksibiliti tinggi untuk menggabungkan jadual penerbangan MAB dan SIA dalam satu tempahan tiket bagi perjalanan antara kedua-dua ibu kota.
Selain penawaran harga bersepadu, kerjasama komersial yang semakin mendalam ini bakal disusuli dengan pengenalan beberapa faedah tambahan secara progresif untuk para pelanggan. Ini termasuklah penyelarasan jadual waktu penerbangan yang lebih cekap, akses timbal balik ke ruang legar eksklusif (reciprocal lounge access) bagi penumpang premium, serta penyediaan pakej pengaturan perjalanan korporat bersama untuk pasaran perniagaan.
Adanya integrasi baharu ini, ia dilihat berupaya mengukuhkan lagi hubungan strategik kedua entiti setelah kejayaan melaksanakan program tebus mata ganjaran bersama antara Enrich dan KrisFlyer sejak awal 2024 lalu.