Kerajaan Malaysia hari ini secara rasminya mengumumkan harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 buat seluruh rakyat negara.
Penurunan harga ini akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara. Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi. Ini bermakna rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
Secara menyeluruh makluman lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, esok (22 Jun 2026).